mY Frenz

Selasa, 1 Februari 2011

Kepada orang yang telah dicurangi!!!


Jika berlaku sebarang masalah dalam perhubungan seperti kehadiran orang ketiga, kesalahan sering diletakkan di atas bahu pasangan kerana sanggup menduakan anda. Sedangkan, anda sudah memberikan yang terbaik dalam perhubungan.

Ungkapan seperti 'apa salah saya', 'tidak cukupkah selama ini' dan 'apa yang kau mahu lagi,' sering dilontarkan ketika berlaku perbalahan dalam perhubungan suami isteri atau pasangan kekasih.

Namun, sedarkah anda bahawa sebahagian punca berlakunya kecurangan itu datang daripada diri anda sendiri. Kebiasaannya, pasangan pula tidak mampu untuk berterus-terang.

Hakikatnya, apabila timbul masalah seperti pasangan curang, anda tidak perlu memberontak. Sebaliknya, cuba atasi perasaan dan selesaikannya dengan cara terbaik. Tindakan mencaci dan memaki pasangan akan menambahkan lagi kekusutan perhubungan.

Ini adalah beberapa tip untuk berhadapan dengan masalah pasangan yang curang.

1-Terima dengan tenang: Apabila mengetahui si dia curang, anda pasti akan berasa sedih dan mungkin melakukan perbuatan di luar kawalan. Sebaiknya, cuba selidik sama ada ia benar-benar berlaku atau hanya anda yang terlebih cemburu.

2-Cuba berbincang: Jika ia benar, cuba ajak pasangan berbincang dan tanya kenapa dia bertindak sedemikian. Jangan pula menjadi terlalu emosi sehingga memaki pasangan. Tarik nafas dalam-dalam apabila anda berasa terlalu marah.

3-Bermuhasabah diri: Anda perlu ingat musibah yang berlaku diturunkan oleh Tuhan. Ia adalah sebagai dugaan kita di muka bumi. Mungkin ia sebagai balasan terhadap sesuatu yang pernah anda lakukan dahulu atau sebagai satu cara Tuhan menguji kita.

4-Dekatkan diri kepada Tuhan: Tidak kira apa jua kepercayaan anda, dekatkan diri dengan Tuhan. Ia mampu memberikan ketenangan yang sejati. Berdoalah supaya musibah yang melanda berakhir seperti yang anda ingini.

5-Cari teman untuk berkongsi masalah: Masalah perlu dikongsi dan jangan dipendam kerana ia hanya memburukkan keadaan. Anda juga akan menjadi lebih muram serta tidak mampu melakukan tugasan harian jika terus menyembunyikan masalah yang sedang dihadapi.

6-Kenali kekurangan diri: Percaya atau tidak, anda merupakan sebahagian daripada punca kecurangan. Mungkin anda seorang yang perengus, kuat membebel, tidak hormat kepada pasangan, tidak suka memasak, pemalas atau pengotor. Kenang kembali saat pertama anda bertemu pasangan dan mengapa dia tertarik kepada anda. Mungkin tarikan itu telah hilang. Cuba lihat pada diri sendiri dan cari apa yang disukai oleh pasangan.

7-Cuba perbaiki diri: Ubah segala kekurangan diri. Jangan terlalu memaksa dan cuba buktikan bahawa anda layak untuk disayangi. Tidak salah anda berubah demi kebahagiaan keluarga.

8-Tumpukan perhatian terhadap keluarga: Mungkin anda mengabaikan keluarga dan pasangan. Sebab itulah, mereka mencari kebahagiaan di luar. Luangkan masa hujung minggu dengan sebaiknya seperti melakukan aktiviti riadah atau makan malam bersama. Libatkan seluruh keluarga dalam proses tersebut.

9-Lakukan aktiviti: Apabila terlalu runsing, ramai yang memilih untuk menyendiri. Sebaiknya, sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membuatkan anda terlupa seketika masalah yang dihadapi. Bagus juga jika anda dapat meluangkan sedikit masa di pusat kecantikan atau spa untuk menghilangkan tekanan.

10-Dapatkan nasihat pakar: Jika masalah berpanjangan dan penceraian mungkin berlaku, dapatkan nasihat pakar dan ajak pasangan menghadiri sesi kaunseling. Demi kebaikan keluarga, berdamai adalah jalan terbaik untuk dilakukan.
Read More..